Monday, 20 April 2015

10 Sebab doa tidak dijawab oleh Allah

NASIHAT IBRAHIM BIN ADHAM
Suatu ketika Ibrahim bin Adham, seorang alim yang terkenal zuhud dan wara'nya, melalui pasar yang ramai. Dalam sekelip mata, dia dikerumuni oleh mereka yang ingin meminta nasihat daripadanya.
“Wahai Ibrahim! Allah telah berjanji dalam kitab-Nya bahwa Dia akan mengabulkan doa hamba-Nya. Kami telah berdoa setiap hari, siang dan malam, tapi mengapa sampai saat ini doa kami tidak dikabulkan?” Salah seorang dari mereka bertanya.
Ibrahim diam sejenak dan berfikir. “Wahai saudaraku. Ada sepuluh perkara yang menyebabkan doa kamu semua tidak dijawab oleh Allah.
1. Pertama, kamu mengenal Allah, namun tidak menunaikan hak-hak-Nya.
2. Kedua, kamu membaca Al-Quran, tapi kalian tidak mau mengamalkan isinya.
3. Ketiga, kamu mengakui bahwa iblis adalah musuh yang sangat nyata, namun kamu suka hati mengikuti jejak dan perintahnya.
4. Keempat, kamu mengaku mencintai Rasulullah, tetapi suka meninggalkan ajaran dan sunnahnya.
5.Kelima, kamu inginkan syurga, tapi kamu tidak pernah melakukan amalan seperti ahli syurga.
6. Keenam, kamu takut dimasukkan ke dalam neraka, namun kamu dengan senangnya melakukan perbuatan ahli neraka.
7. Ketujuh, kamu mengaku bahawa kematian itu pasti datang, namun tidak pernah mempersiapkan bekal untuk menghadapinya.
8. Kelapan, kamu sibuk mencari aib orang lain dan melupakan cacat dan kekurangan diri sendiri.
9. Kesembilan, kamu setiap hari memakan rezeki Allah, tapi lupa mensyukuri nikmat-Nya.
10. Kesepuluh, kamu sering mengantar jenazah ke kubur, tapi tidak pernah menyedari bahawa kalian akan mengalami hal yang serupa,” nasihat Ibrahim panjang lebar.
Setelah mendengar nasihat itu, orang-orang di sekelilingnya itu menangis tanda insaf.
Semoga peringatan hari ini memberi sejuta manfaat buat diri kita seterusnya kepada sahabat semua sahabat yang budiman..Ya Allah jauhkan kami sifat mazmumah..amiin

Thursday, 9 April 2015

Beribadah tetapi dunia di dalam hati


Ada sebuah kisah yang berlaku kepada Syeikh Abdul Qadir Jailani. Dia didatangi oleh pemimpin-pemimpin ternama kota Baghdad untuk diajak bersama dalam satu majlis ibadah malam secara beramai-ramai. Dia menolak tetapi pemimpin-pemimpin tersebut berkeras juga mengajak beliau hadir. Untuk dapat berkat, kata mereka. Akhirnya, dengan hati yang berat, Syeikh Abdul Qadir bersetuju untuk hadir.
Pada malam berkenaan, di satu tempat yang terbuka,beratus-ratus orang hadir dengan melakukan ibadah masing-masing.Ada yang bersolat. Ada yang berwirid. Ada yang membaca Quran. Ada yang bermuzakarah. Ada yang bertafakur dan sebagainya. Syeikh Abdul Qadir duduk di satu sudut dan hanya memerhatikan gelagat orang-orang yang beribadah itu.
Di pertengahan malam, pihak penganjur menjemput Syeikh Abdul Qadir untuk memberi tazkirah. Dia cuba mengelak tetapi didesak berkali-kali oleh pihak penganjur. Untuk dapat berkat, kata mereka lagi. Akhirnya dengan hati yang sungguh berat, Syeikh Abdul Qadir bersetuju.
Tazkirah Syeikh Abdul Qadir ringkas dan pendek sahaja.Dia berkata:
"Tuan-tuan dan para hadirin sekelian. Tuhan tuan-tuan semua berada di bawah tapak kaki saya."
Dengan itu, majlis terkejut dan menjadi gempar dan riuh rendah.Para hadirin terasa terhina dan tidak puas hati.Bagaimanakah seorang Syeikh yang dihormati ramai dan terkenal dengan ilmu dan kewarakannya boleh berkata begitu terhadap Tuhan mereka. Ini sudah menghina Tuhan. Mereka tidak sanggup Tuhan mereka dihina sampai begitu rupa.
Mereka sepakat hendak melaporkan perkara itu kepada pemerintah. Apabila pemerintah dapat tahu, diarahnya kadhi untuk menyiasat dan mengadili Syeikh Abdul Qadir dan jika diadapati bersalah, hendaklah dihukum pancung.
Pada hari pengadilan yang dibuat di khalayak ramai,Syeikh Abdul Qadir dibawa untuk menjawab tuduhan.
Kadhi bertanya, Benarkah pada sekian tempat, tarikh dan masa sekian, Tuan Syeikh ada berkata di khalayak ramai bahawa tuhan mereka ada di bawah tapak kaki Tuan Syeikh?
Dengan tenang Syeikh Abdul Qadir menjawab, Benar, saya ada kata begitu.
Kadhi bertanya lagi, Apakah sebab Tuan Syeikh berkata begitu?
Jawab Syeikh Abdul Qadir , Kalau tuan kadhi mahu tahu, silalah lihat tapak kaki saya.
Maka kadhi pun mengarahkan pegawainya mengangkat kaki Syeikh Abdul Qadir untuk dilihat tapak kakinya. Ternyata ada duit satu dinar yang melekat di tapak kakinya. Kadhi memang tahu tahu Syeikh Abdul Qadir seorang yang makruf sebagai seorang yang kasyaf.
Fahamlah kadhi bahawa Syeikh Abdul Qadir mahu mengajar bahawa semua orang yang beribadah pada malam yang berkenaan itu sebenarnya tidak beribadah kerana Tuhan. Tuhan tidak ada dalam ibadah mereka. Hakikatnya, mereka tetap bertuhankan dunia yang duit satu dinar itu menjadi lambang dan simbolnya.
Kalau di zaman Syeikh Abdul Qadir Jailani pun manusia sudah hilang Tuhan dalam ibadah mereka, apatah lagi di zaman ini. Itu dalam ibadah. Kalau dalam hidup seharian, sudah tentu Tuhan tidak langsung diambil kira.
Semoga Allah mencabut segala cinta dan keagungan terhadap dunia , suapaya tidak menyibukkan hati kita dengan sesuatu selain Allah, agar dunia itu ditangan tapi tidak dihati. Amiin.

Takwa menghimpun segala kebaikan.



Dalam sebuah Hadith ada menyebutkan:

جاء رجل إلى النبي صلى الله عليه وسلم فقال : يا نبي الله أوصني، فقال : "عليك بتقوى الله فإنه جماع كل خير، وعليك بالجهاد فإنه رهبانية المسلم، وعليك بذكر الله فإنه نور لك"

Seorang pemuda telah datang kepada Nabi s.a.w. lalu berkata: "Wahai Rasulullah. Berilah nasihat (wasiat) kepadaku".

Rasulullah s.a.w. lalu bersabda: "Hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah s.w.t. kerana sesungguhnya ia (taqwa itu) penghimpun segala kebaikan. Hendaklah kamu keluar berjihad kerana ia merupakan kependitaan seseorang muslim. Hendaklah kamu berzikir kepada Allah s.w.t. kerana ia merupakan cahaya buatmu". (Hadith riwayat Ibn Dhorris dalam Kanzul Ummal).



Saidina Ali k.r.w.j. berkata:

"Taqwa itu ialah, meninggalkan sikap bersenantiasa dengan maksiat, dan meninggalkan tipu daya dalam ketaatan."

Dalam perkataan Saidina Ali k.r.w.j. ini, mengandungi makna yang menunjukkan bahawa, taqwa menghimpunkan seluruh kebaikan. Sesungguhnya, sifat taqwa itu dapat dicapai dengan meninggalkan maksiat, samda dosa-dosa besar mahupun dosa-dosa kecil, serta menjaga kualiti kehambaan dalam ketaatan dengan menunaika hak-hak Allah s.w.t. dalam ibadah kita.

Antara hak-hak Allah s.w.t. dalam ibadah seseorang adalah, keikhlasan dalam beribadah, kejujuran dalam ketaatan kepadaNya, mencintaiNya lebih dari segala-galanya, tidak mengharapkan selain daripada redha Allah s.w.t. dalam ketaatan dan seterusnya merasakan segala ketaatan yang telah dilakukan adalah anugerah daripada Allah s.w.t. kepada kita, bukan kerana daya upaya kita sendiri.

Imam Al-Waqidi berkata:

"Taqwa ialah, kamu menghiasi hati (sirr) kamu untuk Allah s.w.t. sepertimana kamu menghiasi zahir kamu di hadapan makhluk."

Perhiasan hati itulah taqwa. Hal ini kerana, taqwa merupakan sebaik-baik pakaian kerana ianya berkaitan dengan hubungan seseorang dengan Allah s.w.t.. Sesungguhnya, kecantikan hati dengan ketaqwaan itulah yang meningkatkan kedudukan seseorang di sisi Allah s.w.t..

Wednesday, 8 April 2015

3 cara tarik rezeki

Orang yang BERJAYA, akan menarik orang yang BERJAYA yang lain menghampiri mereka seperti magnet.
Pernah saya menulis tip mengenai “success breed success”. Ini adalah sebabnya…
Apabila seseorang itu berjaya, mereka akan dapat menarik orang-orang berjaya yang lain menjadi bulatan kenalan. Oleh sebab kita akan menjadi seperti orang-orang disekeliling kita, maka, seseorang itu akan bertambah kejayaannya oleh kerana dapat “associate” dengan mereka berjaya yang lain.
Kejayaan pertama adalah yang paling sukar. Tetapi, sekali anda mencapai kejayaan yang pertama, kejayaan kedua, ketiga, keempat dan seterusnya akan menjadi semakin mudah oleh kerana kejayaan adalah seperti magnet!
ANTARA 3 cara menjadi “magnet” rezeki:
1. Solat Sunat Dhuha
Solat sunat Dhuha termasuk dalam kandungan Hadith Rasulullah s.a.w sebagai amalan yang digalakkan untuk diamalkan. Mengikut kajian, Solat Sunat Dhuha yang dilakukan pada awal pagi hari mempunyai rahsia dan khasiat tersendiri.
Individu yang sentiasa mengamalkan Solat sunat Dhuha akan lebih cenderung dan berkebolehan berkomunikasi dengan hebat dan mampu menjadi “magnet rezeki.” Rezeki akan lebih mudah mendekati mereka (dengan izin Allah).
2. Banyakkan Bersedekah
Percayalah bahawa semakin banyak kita bersedekah, semakin Allah menambahkan rezeki kita. Sedekah dan zakat mempunyai rahsia tersendiri di mana ia dapat menyuburkan dan membersihkan rezeki yang kita terima. Maka, jangan takut atau kedekut untuk bersedekah (mengikut kemampuan).
Lagipun, belum pernah kita terdengar orang muflis sebab bersedekah.
Pegang prinsip bersedekah umpama menabung untuk saham akhirat nanti. Pahala yang terhasil dari amalan sedekah semakin hari semakin subur dan berpanjangan tanpa henti. Bersedekahlah dengan tulus ikhlas tanpa mengungkit-ungkit dan jauhkan diri dari bersedekah untuk MENDAPAT nama. Peganglah prinsip “tangan yang memberi lebih baik dari tangan yang menerima.”
3. Berdoa Bersungguh-sungguh Diwaktu Mustajab Berdoa
Doa adalah senjata orang mukmin. Setiap amalan dan usaha yang telah dilakukan haruslah diiringi dengan doa dan kemudiannya bertawakal kepada Allah SWT.Berdoalah kepada Allah agar memurahkan rezeki dan membukakan pintu rezeki kita seluas-luasnya. Terdapat masa dan ketika di mana ia dikatakan waktu yang amat mustajab untuk berdoa. Antaranya ialah:
  • Doa orang yang teraniaya
  • Doa selepas solat 5 waktu
  • Doa waktu antara 2 khutbah Jumaat
  • Doa waktu solat dhuha
  • Doa diwaktu berjemaah
  • Doa seorang ibu
  • Doa ketika sedang sujud
Gunakanlah sebaik-baiknya senjata orang Mukmin ini. Mudah-mudahan Allah SWT memakbulkan setiap doa kita supaya hidup lebih diberkati. Apabila hidup kita diberkati, maka mudahlah rezeki mengalir kepada kita. Insya-Allah.

Menutup Aurat



MENUTUP aurat untuk wanita-wanita Islam Muslimah adalah wajib tapi ramai yang masih tidak menutup aurat dengan sempurna sebagaimana yang dituntut Islam. Malah ada yang seakan-akan memperagakan fesyen seolah-olah mempersendakan hukum atau syariat Islam. 
Dalam kamus Lisan al-Arab karangan Ibn Manzur menjelaskan maknatabarruj ialah apabila seorang wanita menampakkan perhiasan serta kecantikannya kepada lelaki. (Ibnu Manzur, Lisan al-Arab, jld:3, hlm:33). Ini bermaksud apa sahaja perbuatan seorang wanita dalam menghiasi wajahnya serta tubuhnya supaya dilihat oleh orang lelaki dan ia termasuk juga memperagakan fesyen pakaian.
Dalam persoalan ini anda boleh lihat adanya tiga kategori wanita. Yang pertama, menutup aurat dengan sempurna. Kedua, menutup aurat tetapi tidak sempurna dan ketiga, langsung tidak menutup aurat.
Kumpulan pertama menutup aurat dengan sempurna kerana dia sedar bahawa itu adalah perintah Allah SWT. Menyedari bahawa hukum menutup aurat itu wajib serta memahami cara yang betul dalam menutup aurat.
Kumpulan kedua menutup aurat, tetapi tidak sempurna. Kategori ini mutakhir ini cukup banyak.
Menutup aurat bukan sekadar melilit sehelai kain di atas kepala tetapi memelihara kecantikan diri daripada diperagakan kepada orang awam. Kadang-kadang kepala ditutup dengan tudung tetapi pada masa yang sama potongan tubuh badan dipertonton kepada orang.
Hakikatnya, pemahaman masyarakat wanita Muslim dalam persoalan menutup aurat masih cetek. Ungkapan “Daripada tak tutup langsung lebih baik tutup.” Kata-kata ini, tampak baik, semacam positif, pada hakikatnya suatu yang dangkal.
Kenapa perlu dibandingkan dengan yang tidak menutup aurat? Kononnya yang menutup aurat walaupun tidak sempurna sudah kira baik… Kenapa tidak dibandingkan dengan yang lebih sempurna dalam menutup aurat?
Itulah manusia yang banyak sangat beralasan dalam urusan dunia dibandingkan dirinya denga yang lebih baik, manakala dalam urusan agama membandingkan dirinya dengan yang paling teruk.
Tidak salah berfesyen dalam bertudung tetapi sebelum dilihat kepada aspek fesyen, adalah lebih baik dilihat aspek hukum. Mungkin ada yang berpendapat bahawa pandangan saya agak jumud. Tetapi suka saya nyatakan bahawa takut saya pada Pencipta mengatasi keinginan nafsu manusia. Cuba lihat diri anda yang sempurna kejadiannya, cantik, rambut ikal mayang, sihat dan sebagainya.
Manusia itu sempurna tidak kira lelaki mahupun perempuan. Siapa yang menjadikan manusia berpasangan, ada lelaki ada perempuan? Jawapannya tidak lain tidak bukan ialah Allah SWT.
Dialah yang menjadikan rupa paras wanita dengan keayuan yang semula jadi, yang menjadi tarikan orang lelaki dan Dia jugalah yang memerintah agar kamu wahai wanita hendaklah menutup aurat.
Suruhan ini bukan daripada saya atau mana-mana ulama atau mufti, tetapi suruhan ini datangnya daripada Allah yang menjadikan kamu. Hairannya, manusia terima semua yang diberi oleh Pencipta seperti makan, minum, kesihatan, rezeki dan macam-macam lagi kalau mahu dihitung sudah pasti manusia tidak dapat menghitungnya nikmat tuhan, tetapi bila disuruh menutup aurat dia ingkar, suruh solat dia ingkar, suruh zakat dia ingkar dan banyak lagi keingkaran yang dilakukan oleh manusia.
Allah SWT berfirman yang bermaksud: Dan hendaklah kamu tetap diam di rumah kamu serta janganlah kamu mendedahkan diri seperti yang dilakukan oleh orang-orang jahiliah zaman dahulu; dan dirikanlah sembahyang serta berilah zakat; dan taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya. Sesungguhnya Allah (perintahkan kamu dengan semuanya itu) hanyalah kerana hendak menghapuskan perkara-perkara yang mencemarkan diri kamu – Wahai ‘AhlulBait’dan hendak membersihkan kamu sebersih-bersihnya (daripada segala perkara yang keji). (al-Ahzab: 33)
Seorang ahli tafsir mengulas ayat ini dengan berpendapat: “Tabarruj wanita bermakna dia (wanita) meletakkan penutup (kain selendang) atas kepalanya dan tidak mengikatnya sehingga boleh dilihat leher dan segala perhiasannya, termasuklah rantai dilehernya.” (Ibn Kathir, jld: 3, hlm: 482-483).
Manakala Abu Ubaidah berpendapat: “Tabarruj bermaksud seorang wanita menampakkan kecantikannya yang memungkinkan orang lelaki ghairah.”(Tafsir al-Alusiy, jld: 21, hlm: 8)
Ulasan ulama dalam ayat di atas serta kaitannya dengan perhiasan di zaman jahiliah. Maksudnya sebelum kedatangan Islam orang Arab perempuan memang sudah menutupi kepala mereka.
Setelah Islam menyinari bumi, dan lokasi sinaran itu ialah Mekah. Jadi masalah sosial juga berlegar dalam persoalan masyarakat hari itu.
Selepas turunnya ayat dari surah al-Ahzab ayat 33 yang bermaksud: Dan hendaklah kami tetap di rumahmu dan janganlah kamu berhias dan bertingkah laku seperti orang-orang Jahiliah yang dahulu dan terus dirikanlah solat, tunaikanlah zakat dan taatilah Allah dan Rasul-Nya. Sesungguhnya Allah bermaksud hendak menghapuskan perkara-perkara yang mencemarkan daripada kamu, hai ‘ahl al-bait’ dan membersihkan kamu sebersih-bersihnya.
Lantaran itu, wanita-wanita Islam segera menutup aurat dengan sempurna sehingga tidak mendedah rambut, leher dan segala perhiasan di leher mereka. Inilah perbezaan yan ketara antara wanita Islam zaman ini dengan wanita Islam di zaman Nabi SAW.
Generasi al-Quran ini cukup unik dan dinamik. Apabila sampai sahaja perintah Allah SWT melalui al-Quran, mereka segera menyahut tanpa sebarang bantahan dan alasan.
Sebagai balasannya, Allah SWT menjanjikan kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat, yang pastinya di atas sifat tunduk dan patuh kepada perintah dan suruhan Allah SWT, mereka kelak akan dibalas dengan syurga yang tidak tergambar nikmatnya.
Hari ini macam-macam alasan diberi untuk melepaskan diri daripada perintah Allah SWT.
Dulu, zaman Nabi SAW, orang-orang Arab kuat nafsu, sebab itulah wanita zaman itu kena berkelubung, pakaian warna hitam, tutup muka dan sebagainya. Kalau betul apa yang didakwa, minta tolong kemukakan kes-kes rogol dan pencabulan yang ada pada masa itu. Itu di zaman jahiliah.
Wanita Melayu juga pada satu ketika dahulu, mungkin awal 1950an, perempuan-perempuannya berkelubung dengan kain batik, bila dengar suara lelaki lari menyorok, tidak mudah keluar rumah.
Maksudnya pergerakan dan perwatakan mereka dikawal oleh kedua-dua orang tua. Adakah pada awal tahun 1950 banyak kes rogol, pencabulan, buang anak, gugurkan janin, anak luar nikah, lari dari rumah, kanak-kanak hilang dan sebagainya?
Keruntuhan moral, budaya dan ancaman luaran yang menyebabkan segala macam bencana manusiawi yang tidak pernah berlaku di zaman jahiliah dan juga di awal kemerdekaan berlaku hari ini.
Dewasa ini orang pakai tudung sempurna pun tidak selamat, ini pula sengaja mendedahkan aurat semacam bersedia untuk dibaham.
Kecantikan seorang wanita terletak pada sejauh mana ketaatannya kepada Allah SWT. Wajah itu cermin hati. Adalah suatu yang salah kalau orang perempuan merasakan kaum lelaki akan tertawan dengan rupa parasnya semata-mata tanpa melihat kepada unsur-unsur keagamaan pada dirinya.
Jarang pembeli memilih kuih yang terdedah kepada lalat, asap dan kotoran. Biasanya pembeli akan memilih kuih tertutup dengan tudung saji. Kecantikan dan rupa paras yang Allah SWT berikan adalah untuk tontonan suami bukannya untuk orang lain. Dunia dipenuhi dengan perhiasan, maka sebaik-baik perhiasannya ialah wanita solehah.
Renung-renungkanlah. saya mahu kalian sedar, teruatama buat wanita di luar sana.. Saya sayang kalian, kalian saudara seagama saya, saya mahu kita semua berjiran di jannah nanti, insyaAllah sebab tu saya tegur. Perbaiki diri setiap hari, perbaiki kedudukan kita disisi Allah. Tambah-tambah bagi yang nak berubah tu, kalau taktahu nak mula dari mana, mulakan dari menutup aurat. InsyaAllah yang lain tu pasti akan mula untuk seiring dengan pemakaian, terutamanya akhlak.